Medical Village merupakan projek menaiktaraf akses perkhidmatan penjagaan kesihatan primer (PHC) dijalankan dengan usahasama Cinta Syria Malaysia (CSM) bersama Union of Relief and Development Associations (URDA).
Menurut laporan Penilaian Kerentanan Pelarian Syria (VASyR2021) di Lubnan, kejatuhan ekonomi, inflasi, COVID-19 dan juga letupan yang berlaku di Beirut memberi tekanan yang sangat dahsyat kepada masyarakat Lubnan termasuklah pelarian Syria.
Bencana ini telah menjadikan ribuan keluarga di Lubnan terjerumus dalam kemiskinan yang lebih teruk. Antara kerisauan VASyR adalah penambahan isi keluarga yang hidup di bawah tahap kemiskinan iaitu, 94% pada tahun 2020 berbanding 89% pada tahun sebelumnya. Inilah kesusahan yang sedang dialami oleh pelarian Syria pada masa ini.
Menurut kajian, purata hutang setiap isi keluarga meningkat sebanyak 18% iaitu setiap keluarga berhutang pada purata LBP 3,430 000.00.
Menurut VASyR punca utama pelarian Syria ini menanggung hutang adalah kos pembelian makanan harian (93%) diikuti kos perubatan (49%) dan kos sewa (31%). Seperti tahun sebelumnya, 9 per 10 isi keluarga masih lagi dibebani dengan hutang disebabkan keperluan asas mereka yang tidak pernah mencukupi.
Oleh yang demikian, atas keberkesanan Medical Village 1.0 yang memberi manfaat bukan sahaja kepada pelarian Syria dan Palestin, malah kepada masyarakat Lubnan juga, CSM dan URDA meneruskan projek ini bagi peringkat kedua iaitu Klinik Medical Village 2.0.
Secara tidak langsung, Klinik Medical Village 2.0 ini akan mengurangkan beban di Pusat Kesihatan Primer dan Sekunder dan tahap kematian di kalangan pesakit.