Projek Ruang KITA merupakan sebuah projek pendidikan yang terbahagi kepada dua iaitu sekolah rendah dan juga tadika.
Bagi sekolah rendah projek berfokuskan kepada kelas pengukuhan bagi anak Syria yang berumur 8 hingga 13 tahun. Objektif utama projek ini adalah untuk mengukuhkan kefahaman anak Syria terhadap pelajaran yang telah mereka pelajari di sekolah serta menekankan asas 3M (Membaca, Menulis, Mengira).
Antara mata pelajaran yang difokuskan adalah Bahasa Arab, Matematik, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Agama Islam. Timbul inisiatif untuk meneruskan projek ini apabila ibubapa menyuarakan bahawa anak-anak mereka tidak dapat fokus di dalam kelas kerana bilangan rakan sekelas yang ramai. Hal ini kerana anak-anak Syria ini masih terganggu akibat trauma sehingga sukar untuk mereka menyesuaikan diri.
Bagi tadika pula, projek memfokuskan kepada asas literasi dan numerasi bagi kanak-kanak berumur 6 hingga 7 tahun. Objektif utama adalah bagi memberikan pendedahan awal terhadap anak-anak ini supaya mereka lebih bersedia untuk menghadapi sesi persekolahan di tahap rendah pada masa hadapan. Pembelajaran anak-anak ini juga akan dipersembahkan dengan permainan dan aktiviti yang menyeronokkan.
Pada peringkat awal projek, sukarelawan Cinta Syria Malaysia yang berada di Mafraq akan membuat tinjauan lapangan bagi menilai dan merancang pelan penambahbaikan. Kemudian, tindakan susulan akan dijalankan setelah mengambil kira keperluan dan penambahbaikan yang diperlukan. Pencarian guru pula akan dibantu oleh Abu Abdullah. Setelah selesai semua kerja penambahbaikan, projek ini akan mula beroperasi sepenuhnya.