Rakyat pelarian Syria terpaksa membuat persiapan rapi bagi menempuh musim sejuk melampau pada tahun ini walaupun berdepan dengan kemiskinan ekstrem dan bantuan yang semakin berkurangan. Bagi kebanyakkan pelarian Syria, ini adalah tahun ke-13 mereka terpaksa menghadapi keadaan yang sama. UNHCR menganggarkan bahawa kira-kira 3.4 juta pelarian Syria dan pelarian dalaman di Syria, Lebanon, Jordan, Iraq, dan Mesir akan memerlukan bantuan kritikal untuk menghadapi musim sejuk.
Kesihatan mental juga terkesan semasa musim sejuk melampau disebabkan oleh beberapa faktor seperti kurang pendedahan cahaya matahari, kurang aktiviti luar dan interaksi sosial, gangguan tidur, ketidakpastian tentang masa depan dan lain-lain. Bantuan makanan juga memainkan peranan yang sangat penting dalam menghadapi musim sejuk yang mencabar. Cuaca sejuk boleh menyebabkan akses yang terhad kepada makanan serta peningkatan risiko kekurangan pemakanan.
Bantuan makanan musim sejuk bertujuan untuk memberikan rangsangan pemakanan yang mencukupi dan sesuai untuk memenuhi keperluan nutrisi komuniti Syria. Dalam hal ini, bantuan makanan tidak hanya memberikan sumbangan fizikal, tetapi juga memberi harapan dan keselesaan kepada pelarian semasa mereka menghadapi kesukaran musim sejuk.
Oleh itu, Cinta Syria Malaysia telah mengambil inisiatif dengan melancarkan Kempen Winter Mission 11.0 yang bertujuan untuk mengumpul dana serta menghantar bantuan berbentuk keperluan musim sejuk seperti bantuan makanan, alat pemanas, bantuan pendidikan, kit musim sejuk, bantuan perubatan dan pakaian kepada komuniti pelarian Syria.
Diharapkan melalui bantuan yang diberikan ini mampu mengembirakan hati pelarian Syria yang berada dalam kesusahan serta menjadi bekalan amalan buat kita dimasa hadapan.
“Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik, niscaya akan dilipatgandakan (pahalaNya) kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak” [Al Hadid : 18]